Halaman

01 January 2013

1,000 Pelajar Elit di Imtiaz Kemaman

Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Kemaman yang mula dibina dengan kos RM60 juta awal tahun lalu di Kijal, Kemaman bakal siap hujung tahun ini dan mampu menampung sehingga 1,000 orang pelajar.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, penubuhan kompleks cawangan kelima sekolah berasrama penuh itu bagi menampung permohonan kemasukan yang meningkat saban tahun termasuk dari luar Terengganu serta Sabah dan Sarawak.

 "Cawangan iaitu Imtiaz Kemaman telah beroperasi selama dua tahun di bangunan sementara di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang menempatkan 200 orang pelajar tingkatan satu dan dua.



"Apabila siap, dua lagi sekolah yang sama akan dibina di Setiu dan Marang bagi menjadikan setiap daerah mempunyai sekolah elit berkenaan," katanya pada majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu kali ke-33 tahun 2012 peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 447 pelajar menerima sijil dan hadiah kecemerlangan berjumlah RM81,020. Daripada jumlah itu, 367 pelajar PMR, SPM (109) dan STAM (1).

Hadir sama, Pengarah Yayasan Terengganu, Zakaria Yusof.

Menurut Dato’ Seri Ahmad, Yayasan Terengganu dalam perancangan untuk menaik taraf cawangan pertama sekolah itu di Kampung Raja, Besut menjadi Sekolah Menengah Imtiaz Antarabangsa selaras dengan hasrat Kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai 'Negeri Anjung Ilmu'.