Halaman

26 December 2012

Yayasan Terengganu pastikan pelajar cemerlang terus terbilang

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Terengganu (YT) bertanggung jawab bagi memastikan pelajar cemerlang terus terbilang dan setiap tahun 10 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditaja mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM bagi persiapan mengikuti pengajian professional seperti perubatan, farmasi dan bioteknologi di university terkemuka di seluruh dunia.



 Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof berkata, sehingga ini telah membelanjakan RM6,708,550 untuk Anugerah Kecemerlangan Pelajar (AKP) membabitkan 31,340 pelajar sejak ia diwujudkan pada 2008 hingga 2012 manakala pemberian biasiswa kecil pula sebanyak RM25,037,966 membabitkan 41,209 pelajar seluruh negeri.

Bagi bantuan Sjil Tinggi Pelajaran Malaysia sebanyak RM10,623,000 membabitkan pelajar 10,623 serta sebanyak RM115,808,497 dibelanjakan dalam pelbagai bentuk bantuan sekolah angkat, makan pelajar sekolah rendah berasrama dan lain-lain.

“Kesemua program ini diadakan untuk memastikan pelajar berjaya serta dapat mengubah sosio ekonomi keluarga mereka apabila berjaya mendapat pendidikan sempurna,” katanya di majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu YT kali ke-33 di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man semalam.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Pelajaran negeri, Encik Zakaria Hussin dan Pengarah YT Encik Zakaria Yusof.

Katanya, Penganugerhan Pingat Emas dan Anugerah Sarjana 2012 YT telah membelanjakan RM505,000 bagi meraikan 101 pelajar cemerlang berbanding tahun lalu sebanyak RM230,000 membabitkan 45 pelajar.

Menurutnya Bantuan Persediaan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke asrama penuh, matrikulasi,diploma dan ijazah sentiasa meningkat tahun ke tahun.

 “Tahun lalu YT membelanjakan RM17.5 juta membabitkan 24,000 pelajar manakala sembilan bulan pertama tahun ini (Januari-September) sebanyak RM15.6 juta membabitkan 20,756 pelajar,” katanya.