Halaman

26 December 2012

Warga kerja PMINT diminta sokong BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Warga kerja Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) diminta menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan usaha berterusan dilaksanakan bagi membangunkan negeri dan membela nasib rakyat negeri ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masih banyak agenda Kerajaan BN selepas pilihan raya nanti bagi mencapai tujuan tersebut dan perancangannya akan terbantut jika negeri ini dikuasai parti pembangkang.

“Pemimpin BN akan melaksanakan banyak lagi agenda bagi memacu Terengganu menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2020. “Oleh itu, warga kerja PMINT perlu menyokong kerajaan sedia ada bagi memastikan kesinambungan usaha-usaha yang dilakukan sekarang ini bagi memajukan negeri dan membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PMINT 2012 di Primula Beach Hotel, malam tadi. Hadir sama pada majlis itu,

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda; isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan pegawai kanan PMINT.

Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan PMINT kerana berjaya menguruskan organisasi berkenaan dengan cekap sehingga membolehkan ia mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi pada tahun ini.

“Saya mahu warga kerja PMINT menunjukkan komitmen yang lebih tinggi bagi membolehkan syarikat ini melaksanakan projek-projek yang lebih besar pada masa depan bagi menambah keuntungan,” tambahnya.