Halaman

23 December 2012

TESDEC komited lahirkan belia berkemahiran

Oleh: Noraini Jusoh


Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) yang telah ditubuhkan kerajaan negeri pada awal 90-an komited dalam melahirkan golongan belia berkemahiran khususnya anak Terengganu.

TESDEC yang ditubuhkan sejak 16 tahun yang lalu kini semakin melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan pelbagai program kemahiran yang boleh diikuti oleh golongan belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun graduan lepasan universiti.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Razali Adis berkata, terdapat kursus kemahiran peringkat persijilan yang boleh diikuti oleh pelajar lepasan SPM termasuk berkaitan kimpalan, elektrik serta pembuatan pakaian wanita.

"Selain itu, TESDEC turut menyediakan kursus peningkatan kemahiran kepada graduan lepasan universiti melalui program seperti Program Pengukuhan Kemahiran Industri (Insep) dan Skim Latihan Sambil Bekerja Untuk Siwazah Terengganu (T-Gas),” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media sempena Program Gemilang Siswa Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta 2012, di TESDEC, baru-baru ini.

Menurut Che Razali, apabila berjaya menamatkan pengajian di TESDEC pihaknya menyasarkan 85 hingga 90 peratus pelajar mampu memperolehi pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran yang dimiliki.

"Jika empat tahun lalu, TESDEC hanya menyasarkan 60 hingga 70 peratus sahaja pelajar lepasan kolej ini yang mampu mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang mereka ceburi.

"Namun kini, dengan pertambahan kursus dan tenaga pengajar yang profesional, tidak mustahil suatu hari nanti TESDEC mampu melahirkan 100 peratus sumber tenaga mahir dalam pelbagai bidang dan mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah di negeri ini khususnya,” katanya.