Halaman

14 December 2012

Tambahan RM500,000 bantu pesakit kurang berkemampuan

Oleh: Aida Abd Rahman

Aspek kesihatan rakyat terus menjadi fokus kerajaan negeri apabila mengambil pelbagai langkah bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan termasuk menambah peruntukan Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan berjumlah RM2 juta setiap tahun sejak 2007 kepada RM2.5 juta bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar, berkata pertambahan dana sebanyak RM500,000 itu bagi membantu pesakit kurang berkemampuan membiayai kos rawatan perubatan atau kos pembelian peralatan pesakit.

“Peruntukan ini diluluskan RM2 juta setahun sejak 2007 lagi telah ditambah sebanyak RM500,000 menjadi RM2.5 juta pada tahun depan.

 “Saya juga berterima kasih kepada YAB Menteri Besar (Dato' Seri haji Ahmad Said)  kerana bersetuju bagi membiayai pembinaan sebuah makmal dadah Amphetamine Type Stimulant (ATS) di Hospital Sultanah Nur Zahirah yang bernilai RM1.7 juta,” katanya ketika sesi penggulungan pada hari ketiga persidangan DUN, kelmarin (12 Disember).

YB Dr A Rahman berkata, keputusan berkenaan membuktikan hasrat dan komitmen Kerajaan Barisan Nasional untuk menangani masalah penggunaan dadah yang kian membimbangkan khususnya di kalangan generasi muda di negeri ini.

Selain itu, menerusi Bajet 2013, kerajaan juga turut memperkenalkan Kem Kesihatan ke seluruh daerah menerusi pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, senamrobik dan kembara sihat kepada suri rumah dan masyarakat desa.

 Pada masa yang sama, kempen gaya hidup sihat juga akan diperkenalkan dengan fokus gaya hidup seharian kepada penjawat awam sama ada di rumah mahu pun di tempat kerja.