Halaman

13 December 2012

Radio Manis FM jadi medium penyaluran maklumat

Oleh: Suriati Ali


Radio Manis FM milik kerajaan negeri kini menjadi medium utama bagi penyaluran pelbagai maklumat mengenai dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat Terengganu dan para peminat setia siaran tersebut di Pantai Timur.


 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata radio berkenaan boleh diikuti melalui frekuensi 102.0 FM di Terengganu, 90.6 FM di Kelantan dan 95.1 FM di Pahang.

 “Selepas mula bersiaran beberapa bulan lalu di bangunan Epic, Jalan Pejabat Kuala Terengganu, kini Manis FM semakin mendapat perhatian pendengar, termasuk di Selatan Thailand.

“Selain penyaluran informasi Manis FM bertindak sebagai medium hiburan yang tidak melampau bagi menghiburkan penduduk tempatan dan negeri-negeri berdekatan yang menerima siaran tersebut,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Haji Tengku Hassan Tengku Omar (BN- Ladang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

 Katanya, pada masa ini, selain Terengganu, Manis FM boleh didengar penduduk di Kelantan, Pahang, Johor Timur dan Selatan Thailand.

 “Seperti siaran radio lain, Manis FM juga kini mempunyai peminat tegarnya sendiri, terutama beberapa program harian yang disiarkan radio itu,” katanya.