Halaman

28 December 2012

PPAT anjur persembahan seni tutup tirai 2012

Oleh; Esah Abdullah

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan mengadakan persembahan seni dan sastera, sebagai penutup tirai 2012 di PPAT esok (29 Disember) bermula 8.30 pagi hingga 12.00 malam.

Persembahan seni dan sastera itu diadakan sempena Seminar Kewartawanan Islam Nusantara, pasca Anugerah Seni Terengganu dan penubuhan Galeri Seni Sastera Terengganu.

Menurut kenyataan itu antara aktiviti yang diadakan ialah diskusi buku, pameran dan jualan buku, demontrasi khat, persembahan teater, deklamasi puisi serta pembicaraan buku.

Acara yang diadakan itu adalah sebagai usaha untuk memartabatkan ilmu dan menanam minat membaca di kalangan masyarakat negeri ini. ``Ia selaras dengan wawasan pendidikan negara ke arah mewujudkan generasi celik ilmu dan menghargai sejarah serta kesusasteraan Melayu,’’ katanya.

Melalui usaha seperti itu juga dapat memberi pendedahan kepada generasi baru tentang kepentingan sastera dan teater dalam kehidupan bagi membantu generasi 3K iaitu kreatif, kritis dan kualiti.

Manakala Galeri Sastera Terengganu yang bakal ditubuhkan oleh PPAT akan menjadi sebahagian daripada koleksi Terengganu dengan menempatkan karya-karya penulis tempatan sebagai rujukan umum di samping mengumpul semua hasil seni dan kesusasteraan negeri ini.

Empat persatuan bergabung untuk mengadakan program tersebut iaitu Majlis Pengarang dan Sastera Terengganu (Master), Persatuan Karya Negeri Terengganu (Karya), Persatuan Wartawan Terengganu (Pewarta) dan Persatuan Seni Khat Trerengganu (Pikat).