Halaman

27 December 2012

NGO sertai gotong royong bersih masjid dilanda banjir


YB Datuk Seri Idris Jusoh menyembur air bersih simen masjid

Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 100 peserta mewakili pelbagai badan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan menyertai gotong royong membersih Masjid Kampung Padang Bual,Hulu Besut yang dilanda banjir teruk kelmarin.

Selepas dilanda banjir teruk menyebabkan banyak rumah dan kemudahan awam dicemari lumpur penduduk daerah Besut yang terjejas dengan bencana banjir mula mengadakan gotong royong membersih rumah dan tempat awam.

Belia MAYC dan Briged Tani bergabung tenaga menjalankan aktiviti membantu komuniti yang terbabit dalam kejadian banjir kelmarin.

Masjid Kampung Padang Bual,Hulu Besut, yang terjejas teruk dengan banjir menjadi lokasi pertama gabungan NGO berkenaan mengadakan gotong royong membersih lumpur.

Program itu turut disertai pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung terbabit.

Ketua Umno Bahagian Besut,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih dan ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad hadir sama menyertai gotong royong itu

Kerja gotong royong itu terpaksa menggunakan pacutan air bomba bagi membersih lumpur dan sampah sarap yang tersangkut sekitar masjid terbabit.

Selepas menyertai gotong royong Idris bersama sukarelawan terbabit menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir dari rumah ke rumah sekitar Kampung Padang Bual, yang terjejas teruk akibat banjir Isnin lalu.