Halaman

06 December 2012

MB minta pemimpin, ahli Umno hayati amanat PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Semua pemimpin dan ahli Umno diminta menghayati amanat Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang meminta mereka semua mengetepikan kepentingan diri, sebaliknya mengutamakan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kerajaan sedia ada terus memerintah negara ini.



Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata ucapan Presiden sewaktu merasmikan dan menggulung Perhimpunan Agung parti itu minggu lalu amat jelas dan mesej beliau sudah mencukupi bagi semua pihak untuk memperkemaskan kedudukan parti.

“Saya yakin jika semua pihak menghayati intipati ucapan Presiden dan sedia untuk bersama-sama berganding tenaga pada pilihan raya akan datang, Umno dan BN akan mencapai kemenangan yang mutlak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, Umno Terengganu tidak risau tentangan daripada pihak pembangkang kerana mereka tidak kuat.

“Kita mahu pemimpin dan ahli Umno akur dengan pemilihan calon yang akan diputuskan pucuk pimpinan parti dan bekerja keras bagi memenangkan semua calon yang dipilih nanti.

“Jika semua pihak menyokong calon dan tidak melakukan sabotaj, Umno dan BN boleh menang besar pada pilihan raya akan datang,” ujar beliau. Beliau berkata, rakyat kini sudah bosan dengan perjuangan Pas dan parti pembangkang lain yang hanya pandai menabur janji-janji kosong.

“Kita harap pekerja parti dan pemimpin menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan merapatkan jurang perbezaan demi menjamin kemenangan Umno dan BN,” katanya.

Beliau berkata, masalah perpaduan di kalangan pemimpin Umno tempatan sudah diperbaiki dan keadaannya jauh lebih baik berbanding beberapa tahun lalu.