Halaman

07 December 2012

Masyarakat wajar faham erti wasatiyah

Oleh: Suriati Ali 

 “Wasatiyah mempunyai pelbagai maksud, ia boleh disebut sebagai keseimbangan dan kesaksamaan antara dua pihak, yang mana satu tidak mengatasi yang lain.

 “Ia juga boleh ditafsirkan sebagai suatu keadaan yang tidak terlalu beku atau terlalu longgar,” kata Penceramah Bebas Ustaz Dr Zulkifli Muda ketika menjelaskan isu `Wasatiyah Dalam Akidah Islam’ kepada peserta Seminar Maal Hijrah di Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, kalau dikaitkan dengan agama, wasatiyah memberi maksud adil, kebaikan, keadilan dan ketinggian.

 “Apabila wasatiyah disandarkan ke[ada umat Islam, maka ia memberi makna umat yang mencapai sifat-sifat mahmudah atau terpuji yang terbit daripada kedudukan syariat Allah yang bersifat sederhana.

“ Dengan itu, umat Islam dianggap sebagai penghulu segala umat, ketua segala bangsa dan menjadi saksi ke atas mereka pada hari akhirat,” katanya.

 Ustaz Dr Zulkifli turut memberitahu ajaran pluralisme agama pula berkait rapat dengan akidah di mana pengangan sebegitu boleh merosakkan iman seseorang.

“Perkara akidah adalah teras kepada jati diri orang Islam, jika rosak sudah tentu taiad makna keimanan seseorang itu walaupun ia mengakui dirinya sebagai Islam sejati.

“Harus diingat bahawa perbezaan agama dikalangan masyarakat di Malaysia bukan berpunca kepada perpecahan. Perbezaan beragama harus dihormati antara satu sama lain,” katanya.