Halaman

15 December 2012

Kerajaan peruntukkan RM20 juta bagi pinjaman ibu tunggal

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan RM43 juta pada tahun depan bagi membiayai pinjaman kepada ibu tunggal di seluruh negeri melalui Program Ibu Tunggal.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri memperkenalkan program itu bagi memberi peluang ibu tunggal mendapatkan modal bagi menjalankan perniagaan.

“Pinjaman yang diberi membolehkan peserta mendapat modal dan membeli peralatan bagi menjalankan perniagaan atau aktiviti yang boleh menjana pendapatan ,” katanya ketika membentangkan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat prihatin dan mengambil berat mengenai nasib ibu tunggal di mana pada masa ini terdapat 21,838 ibu tunggal di seluruh negeri.

Dalam usaha mengatasi masalah perceraian di awal usia perkahwinan pula, katanya, program baru iaitu Pasca Perkahwinan Keluarga Baru Cemerlang akan diperkenalkan kepada 2,000 pasangan yang baru berkahwin.

 “Bagi kepentingan warga emas pula, program intergenerasi, pemantapan hubungan kasih sayang di usia emas dan kesejahteraan diri dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada 15,000 warga emas,” katanya.