Halaman

05 December 2012

Kerajaan negeri perkasa Sekolah Imtiaz

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan Terengganu akan memperkasa Sekolah-Sekolah Imtiaz di negeri ini kerana ia mampu menjana masyarakat yang mampu hafaz al-Quran serta cemerlang di bidang pelajaran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun ini 287 pelajar dari sekolah berkenaan mampu menghafal al-Quran dan mereka diberi RM1,000 seorang sebagai imbuhan.

 “Bagi tujuan itu kerajaan negeri membelanjakan RM287,000 bagi memberi sagu hati sebagai dorongan kepada pelajar yang telah menghafal al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pada masa ini terdapat lima buah Sekolah Imtiaz di negeri ini di mana setiap daerah kecuali Marang dan Setiu, mempunyai sekolah berkenaan.

“Kita akan memperkasakan sekolah Imtiaz sedia ada dan membina dua buah sekolah lagi iaitu di daerah Marang dan Setiu bagi membolehkan lebih ramai pelajar masuk ke sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ramai ibu bapa dari negeri-negeri lain berminat menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah Imtiaz, tetapi setakat ini kerajaan negeri hanya memberi peluang 10 peratus pelajar luar melanjutkan pelajaran di sekolah berkenaan.

“Kita tidak bercadang untuk menambah kuota berkenaan bagi memastikan pelajar tempatan diberi lebih peluang untuk belajar di sekolah Imtiaz,” katanya.