Halaman

11 December 2012

Kerajaan hargai ExxonMobil iktiraf media

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menghargai peranan Exxonmobil yang memberi sumbangan kewangan bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil (AKKEM) sejak 28 tahun lalu sehingga berjaya melahirkan ramai wartawan berketrampilan menerusi penulisan berkualiti.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penganjuran anugerah itu menyuntik golongan wartawan untuk sentiasa berusaha menghasilkan karya yang lebih inovatif, kreatif dan penuh bermakna.

"Tahniah kepada ExonMobil yang diketuai Encik J. Hunter Farris (Pengerusi Subsidiari Exxonmobil di Malaysia) yang tidak jemu-jemu memberi sumbangan kewangan kepada Anugerah Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) sejak 28 tahun lalu.

“Justeru itu, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan ExxonMobil itu bukan sahaja ke arah pembangunan negeri Terengganu tetapi juga turut sama melibatkan diri dalam memberi pengiktirafan kepada wartawan yang berkhidmat di Terengganu,” kata beliau ketika berucap merasmikan AKKEM 2012, di Hotel Primula Kuala Terengganu, malam tadi.

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera; Pengerusi Subsidiari-subsidiari Exxonmobil, J Hunter Farris dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Menteri Besar berkata, program berkenaan bukan sahaja mempereratkan hubungan dengan wartawan dari semasa ke semasa serta melancarkan proses menyampaikan segala maklumat dan informasi kepada rakyat, malah dapat melahirkan wartawan yang berwibawa dengan menghasilkan penulisan yang boleh menjadi ikutan, renungan dan panduan kepada masyarakat.



“Saya yakin dan percaya dengan adanya anugerah (Kawat-ExxonMobil) ini sudah tentu hasil penulisan yang lebih inovatif kreatif dan penuh bermakna dapat dihasilkan oleh wartawan kita.

“ Ini merupakan satu medan untuk melahirkan lebih ramai wartawan yang berketrampilan dan mampu melahirkan penulisan yang boleh mencetus pandangan baru ke arah meningkatkan penghasilan kualiti kerja dan pembangunan yang mahu disampaikan kepada rakyat,” katanya.

Katanya, walaupun kerajaan negeri sedia maklum bahawa ExxonMobil merupakan kontraktor utama kepada Petronas tetapi badan korporat berkenaan tetap mendahului Petronas dalam pelbagai program kemasyarakatan di bumi Terengganu.

Beliau berkata, pelbagai khidmat sosial disediakan di negeri ini sebagai pulangan dan sumbangan kembali kepada rakyat daripada hasil keuntungan perniagaan mereka seperti menyediakan bas perpustakaan bergerak yang memberi kemudahan kepada pelajar di seluruh Terengganu.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap Kawat juga memainkan peranan lebih aktif dalam melancarkan rancangan pembangunan kerajaan pada masa depan.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai sikap terbuka dengan teguran yang dibuat oleh wartawan menerusi laporan di media massa.

Malah, pada masa yang sama beliau juga berharap wartawan dapat menghasilkan pandangan yang bernas serta bertanggungjawab tanpa adanya unsur-unsur negatif termasuk mengeluarkan berita berasaskan andaian semata-mata yang boleh merosakkan masyarakat dan kerajaan.