Halaman

06 December 2012

Kerajaan akan usahakan asrama pelajar di Rusia

Oleh: Kamarudin Mat Akib 


Kerajaan negeri akan berusaha menyediakan asrama pelajar di Rusia bagi menempatkan pelajar Terengganu yang sedang menuntut di negara berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata beliau dan beberapa pegawai kerajaan akan pergi ke negara itu tahun depan bagi mencari bangunan yang sesuai untuk disewa sebagai asrama.

“Kita akan menyewa atau memajak bangunan yang sesuai di negara berkenaan untuk dijadikan asrama bagi mengatasi masalah pelajar mendapatkan tempat tinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Pengarah YT, Haji Zakaria Yusof dan ibu bapa pelajar Imtiaz seluruh Terengganu turut hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.



Bercakap kepada wartawan selepas majlis itu, Menteri Besar, berkata pada masa ini terdapat 189 pelajar tajaan YT sedang menuntut di bidang perubatan di dua buah universiti di Rusia.

“Baru-baru ini saya bertemu dengan wakil pelajar dari negara itu di Kuala Lumpur dan mereka menyebut masalah ini agar kerajaan negeri membantu menyediakan kemudahan tersebut kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini pelajar yang menuntut di negara itu menggunakan perkhidmatan ‘orang tengah’ untuk menyewa rumah kerana kesukaran mendapatkan kemudahan itu.

Tambahan pula, katanya, harga sewa tidak menentu dan mereka menggunakan sistem siapa cepat dia dapat menyebabkan kesukaran bagi pelajar baru mendapat rumah kediaman.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu masalah tersebut akan menganggu pembelajaran pelajar berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mencari jalan menyelesaikannya.