Halaman

16 December 2012

Kelab Chery Easter jadi duta kecil TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menggalakkan pembabitan pelbagai persatuan dan kelab di seluruh negara yang berperanan sebagai duta kecil pelancongan dalam usaha mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.



 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata promosi yang dilaksanakan kerajaan negeri secara intensif menerusi media cetak dan elektronik serta laman media sosial untuk menarik kunjungan pelancong akan lebih berkesan apabila pelbagai pihak turut membantu usaha berkenaan termasuk bertindak sebagai medium perantara kepada TMT 2013.

“Tahniah dan terima kasih kepada `Chery Easter Club’ yang berjaya mengumpul ahli dari serata negeri di seluruh Malaysia serta bertindak sebagai duta kecil bagi membantu mempromosikan TMT 2013.


 “Selain Chery Easter Club, kerajaan sentiasa mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak termasuk persatuan kereta dan permotoran dari seluruh negara mempromosikan TMT. Bukan sahaja menjayakan aktiviti penjelajahan dan lawatan bersama ahli kelab serta keluarga ke destinasi menarik di seluruh Terengganu, mereka juga boleh menghebahkan apa sahaja berita menarik untuk dikongsi dengan masyarakat luar sana,” katanya di Majlis perhimpunan Tahunan pemilik Chery Easter 2012 (Chery Easter Club), di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Timbalan Pengarah (Sektoral), Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan Presiden Chery Easter Club, Encik Ridhoan Mohd Lazim.

Sebanyak 74 kenderaan pelbagai guna (MPV) Chery Easter membabitkan 450 ahli kelab bersama keluarga masing-masing menyertai acara konvoi ke Kuala Terengganu bermula Khamis lalu.

Program tiga hari di Bandar Raya Kuala Terengganu turut diisi dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan termasuk melawat tempat menarik seperti Taman Tamadun Islam, Bazar Warisan, Muzium Negeri dan Pasar Besar Kedai Payang.

Kelab yang berdaftar sejak 2009 mempunyai lebih 600 ahli dari seluruh Malaysia pernah mencatat rekod dalam Malaysia Books Of Records menerusi penyertaan peserta konvoi MPV terbesar yang melibatkan 147 MPV di Sungai Petani pada tahun lalu.

Terengganu merupakan destinasi ketiga dalam kalendar aktiviti tahunan kelab itu selepas memulakan konvoi di Kuantan pada 2010 dan Sungai Petani, Kedah (2011). Kelab itu merancang untuk menjalankan konvoi ke Ipoh, Perak pada 2013 nanti.