Halaman

06 December 2012

Kejohanan bolasepak bawah 12 tahun cungkil bakat baru

Oleh: Noraini Jusoh

Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun “Champion Of Champions” (COC) 2012 yang bermula 1 Disember lalu bertujuan untuk mencungkil bakat baru bagi melayakkan mereka ke peringkat akhir Kejohanan Belia Dunia Bawah 17 Tahun pada 2019.

Berlangsung selama sembilan hari di Terengganu, kejohanan edisi kedua ini menunjukkan peningkatan dengan penglibatan 12 pasukan yang mengambil bahagian di mana hanya 8 pasukan yang terlibat semasa pertama kali diadakan di Muar, Johor pada 11 hingga 18 Disember tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid berkata, kejohanan ini adalah acara kemuncak dan paling berprestij bagi kejohanan bawah 12 tahun di negara ini.

"Untuk kejohanan pada kali ini, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganjurkan program yang menjadi medan dalam mengenal pasti pemain yang berpotensi untuk beraksi mewakili negara ke kejohanan bertaraf dunia itu nanti.

"Kejohanan ini merupakan program pembangunan bolasepak negara yang telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Razali Ibrahim pada Jun 2010,” ujarnya ketika berucap di majlis makan malam bagi meraikan pasukan yang menyertai Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun “Champion Of Champions” 2012, bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, malam tadi.

Katanya, semua pemain diharap dapat kekalkan displin dan fokus ketika bermain kerana mereka merupakan pasukan yang terpilih antara juara-juara kejohanan di peringkat negeri mahupun kebangsaan yang telah diadakan sepanjang tahun ini dan telah diiktiraf oleh FAM.

"Terengganu sendiri mempunyai dua pasukan yang menyertai kejohanan pada kali ini iaitu pasukan Mykids Soccer dan MSST Terengganu (johan bolasepak MSSM),” ujarnya.

Tambah Dato’ Rosol, dalam melahirkan pemain yang bakal mengharumkan nama negara kelak, semua pihak harus memberi sokongan padu kepada pemain khususnya ibu bapa.

Difahamkan, antara pasukan lain yang layak ke kejohanan ini termasuk pasukan Mykids Soccer dari Perlis, Kedah dan Kuala Lumpur; Johan Borneo Cup (Sabah); Johan Bawah 12 Tahun Melaka (Kiddo Kickers); Johan Bawah 12 Tahun Pahang (First Touch Pahang); Johan Bawah 12 Tahun Negeri Sembilan; Pasukan Projek 2019 Negara; Johan 1 Malaysia Cardiff City Tournament serta pasukan Petriot Medan dari Indonesia sebagai jemputan.