Halaman

12 December 2012

Kategori berita pelancongan, bantu promosi TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Selaras dengan perkembangan semasa khususnya Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bercadang untuk memperkenalkan dua lagi kategori penulisan berita baru termasuk pelancongan pada Anugerah Kawat-ExxonMobil (AKKEM) bermula tahun depan.

Menurut Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat, inisiatif menambah kategori berita pelancongan sebagai menyokong usaha kerajaan mempromosikan sektor itu kepada umum secara meluas dan merancakkan lagi sambutan TMT 2013.

Selain pelancongan, Kawat turut mencadangkan kepada penganjur (ExxonMobil) untuk menambah kategori inovasi dan sains pada musim depan.

 “Dua kategori baru ini dapat meningkatkan lagi motivasi pengamal media terutama wartawan untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu, berkualiti dan berimpak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis AKKEM 2012, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, kelmarin (10 Disember).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan dan menyampaikan anugerah kepada semua pemenang anugerah AKKEM 2012.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib dan Pengerusi Subsidiari-subsidiari Exxonmobil, J Hunter Farris.