Halaman

21 December 2012

Kampung Bukit Rhu Rendang gotong royong buat bubur asyura

Oleh : Amirullah Othman 

Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan Kawalan Rukun Tetangga Kampung Bukit Rhu Rendang berganding bahu menjalankan aktiviti gotong royong memasak bubur asyura sebanyak empat kawah untuk dibahagikan kepada semua penduduk sekitar, semalam.

Seramai 200 orang penduduk kampung bergotong royong untuk menyiapkan bubur asyura yang bermula jam 7 pagi hingga 12 tengahari di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Rhu Rendang.

Penduduk di empat Taman dalam kawasan Rhu Rendang gembira kerana dikunjungi pemimpin JKKK dan KRT Kampung Bukit Rhu Rendang yang turut membahagikan bubur asyura kepada setiap rumah.

Ini merupakan program yang sangat baik bagi menjalinkan hubungan akrab antara penduduk kampung dengan pemimpin setempat supaya setiap permasalahan dapat disampaikan secara terus kepada pimpinan akar umbi.

Jusoh Abdul Rahman, 56, amat gembira kerana suasana orang lama iaitu amalan gotong royong yang telah diamalkan sejak dahulu lagi tidak hilang di telan zaman dan ia dibuktikan melalui program gotong royong yang telah dijalankan oleh JKKK dan KRT Kampung Atas Bukit Rhu Rendang.

Program ini turut dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku yang mahukan semua pimpinan akar umbi sama-sama memainkan peranan dalam memberikan bakti yang tulus dan ikhlas kepada rakyat.