Halaman

09 December 2012

JKKK Alur Tuman anjur Program Berkhatan Percuma

Oleh : Amirullah Othman

  Seramai 25 kanak-kanak berusia lingkungan 12 tahun dari Kampung Alur Tuman telah diraikan dalam Majlis Berkhatan beramai-ramai di Surau Haji Abas, hari ini.



Seawal jam 7.30 pagi para peserta telah dimandikan secara beramai-ramai dan selepas itu mereka dijamu dijamu dengan nasi kunyit yang di bawa oleh keluarga masing-masing.

 Semua peserta turut dihadiahkan sehelai kain pelikat sumbangan Pejabat Pembangunan Parlimen Marang dan Pejabat Pembangunan DUN Rhu Rendang.

Pengerusi JKKK Kampung Alur Tuman, Khasperi Muda berkata, beliau dan semua jawatankuasa telah berbincang dan mendapati perlu diadakan program seumpama ini supaya dapat memudahkan proses berkhatan kepada kanak–kanak di kampung itu.

 “Jika mereka berkhatan di klinik swasta sudah tentu melibatkan perbelanjaan RM100 hingga RM120.

Namun atas inisiatif JKKK Alur Tuman, kita adakan program ini secara percuma kepada semua kanak-kanak,” katanya.

 Beliau berkata, program itu meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah dalam kampung Alur Tuman dan ia merupakan sebahagian sumbangan JKKK kepada penduduk.

 Katanya, JKKK Alur Tuman akan turut mengadakan pelbagai program lain iaitu memasak bubur asyura pada minggu hadapan.



Pelbagai celoteh dan ragam anak-anak yang turut serta dalam program tersebut di mana ada yang menangis dan ada juga yang bersahaja selepas selesai proses berkhatan tadi.