Halaman

06 December 2012

JBPT kenalpasti 108 premis wajib ada sijil perakuan bomba

Oleh; Esah Abdullah

 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPT) mengenalpasti 108 premis milikan kerajaan dan swasta di negeri ini diwajibkan mempunyai Sijil Perakuan Bomba .

 Pengarahnya, Encik Md Salleh Sarbini berkata, daripada jumlah itu sebanyak 81 buah membabitkan premis swasta manakala bakinya adalah premis kerajaan.

“Daripada jumlah itu, 37 premis termasuk 22 buah milik swasta dan 15 kerajaan masih dalam proses kelulusan,” katanya

Menurutnya, menjadi kesalahan kepada premis yang telah ditetapkan mempunyi Sijil Parkuan Bomba mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

``Jabatan tidak akan bertolak ansur dan bertindak tegas terhadap mana-mana premis yang telah digazetkan tetapi ingkar, kerana ia melibatkan kepentingan awam seperti hotel dan pusat membeli belah,’’.

``Selain itu premis yang telah diberi sijil akuan juga perlu memperbaharuinya setiap tahun dengan memastikan penyelenggaraan peralatan kebakaran diselia dengan baik sebelum diluluskan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di pejabatnya semalam. Hadir sama Timbalannya, Penguasa Kanan Bomba 1, Nor Mahathir Muhamad.

Katanya, tahun ini terdapat tiga pemilik premis telah dikenakan tindakan mahkamah kerana gagal mematuhi peraturan setelah beberapa peringatan dikeluarkan.

Encik Md Salleh berkata, bukan semua bangunan tinggi perlu mendapatkan sijil tersebut, sebaliknya ia hanya diwajibkan ke atas premis-premis awam seperti hotel, pusat membeli-belah, dan pejabat.

 Selain itu jabatan sentiasa mengadakan dialog dengan pemilik premis terbabit untuk memastikan mereka mematuhi peraturan yang telah ditetapkan untuk kepentingan dan keselamatan awam.

Sempena dengan majlis itu seramai 27 pegawai menerima sijil dan pemakian tanda pangkat manakala 10 anggota menerima sijil perkhidmatan 30 tahun serta tiga orang menerima sijil pesara.

 Lain-lain sijil turut diberikan kepada dua pekerja contoh, sijil perakuan Bomba (tiga premis), teman pili bomba (10), sijil penghargaan kepada orang awam (lapan) dan sijil penubuhan Briged Bomba kepada Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu.