Halaman

31 December 2012

Ibu bapa pilih saat akhir beli kelengkapan sekolah

Oleh: Suriati Ali

 Masih ramai ibu bapa di Terengganu memilih saat akhir untuk membeli barangan kelengkapan sekolah anak masing-masing walaupun menyedari sesi persekolahan 2013 bakal bermula esok.

 Rata-rata mereka gemar berbuat demikian kerana mengetahui barangan yang diingini tidak akan habis selain enggan berasak-asak bersama pengunjung lain untuk membeli kelengkapan seperti pakaian sekolah, kasut dan beg.



Tinjauan ke Karnival Kermbali Ke Sekolah di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) , Kuala Terengganu mendapati hampir kesemua 60 premis perniagaan diserbu ibu bapa yang ingin mendapatkan peralatan sekolah seperti beg, pakaian seragam dan alat tulis pada harga diskaun antara 10 hingga 20 peratus.

Seorang pengunjung, Mohd. Shah Samad, 45, berkata beliau dapat menjimatkan hampir RM150 ketika membeli-belah di situ.

 "Saya harap kempen seperti ini akan diteruskan lagi pada tahun depan kerana ia membantu ibu bapa meringankan beban kewangan menjelang sesi persekolahan tahun baru," katanya yang mempunyai tiga anak masih bersekolah.

 Bagi Hamidah Hamid, 37, pula beliau gemar berbelanja di TTC kerana dapat membeli pelbagai barangan keperluan dengan jenama terkenal di situ.

 "Apabila saya dapat tahu kempen ini akan berakhir pada 31 Disember, saya terus ambil cuti hari ini untuk datang membeli-belah kerana kawan saya beritahu TTC ni penuh sesak setiap kali cuti hujung minggu dengan kehadiran ibu bapa dan anak mereka," kata ibu kepada empat anak ini.

 Selain 60 premis di TTC, sebanyak 40 buah pasar raya di seluruh Terengganu turut menyertai kempen itu yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus bagi pelbagai barangan keperluan sekolah.

 Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat PDNKK Negeri Terengganu, Abdul Ghani Harun berkata, beliau berharap kempen itu akan dimanfaatkan ibu bapa untuk berbelanja dengan lebih bijak.