Halaman

30 December 2012

Bekalan air di dua daerah terganggu akibat banjir

Oleh: Noraini Jusoh



Syarikat Air Terengganu (SATU) memaklumkan bekalan air di daerah Kemaman dan Dungun terganggu berikutan banjir yang melanda negeri ini minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong berkata, ekoran banjir tersebut Booster Pam Seberang Tayor di Kemaman dan Loji Air Tepus di Dungun telah ditenggelami air.


Berikutan itu, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan elektrik ke dua premis berkenaan, menyebabkan operasi pam juga terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

"Gangguan ini akan melibatkan seramai 2,634 akaun pengguna bekalan air SATU di daerah Kemaman dan seramai 1371 di daerah Dungun,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Teganukita, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sukar untuk menganggarkan bila tempoh gangguan ini akan berakhir kerana ia bergantung kepada paras air banjir.

Katanya, kerja-kerja membaikpulih hanya dapat dilaksanakan apabila banjir surut dan dijangka bekalan air akan pulih dalam masa seminggu selepas kerja-kerja membaikpulih pam dilakukan.

Antara kawasan di daerah Kemaman yang terlibat dengan masalah gangguan air ialah Kg Air Putih, Felda Seberang Tayor, Kg Teladas, Kg Dadong, Felda Lubuk Lesong, Bandar Sri Bandi, Kg Seberang Tayor Hilir, Kg Batu 16, Kg Pasir Gajah (Batu 10), Kg Paman dan Kg Padang Kubu.

Manakala di daerah Dungun melibatkan Kg Dendang, Kg Wa, Kg Cermin Kiri, Kg Jerangau Sungai, Kg Rantau Panjang, Kg Tersusun, Kg Surau, Kuala Jengai, Kg Pelampong, Kg Minda, Kg Talong, Kg Tepus, Penjara Tegar dan Kedai Lay By Bukit Besi.