Halaman

10 December 2012

Anggaran hasil negeri tahun 2013 meningkat 2.84 peratus

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang membentangkan Bajet 2013 hari ini memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri kerajaan menganggarkan akan memperolehi hasil sebanyak RM2.005 bilion atau peningkatan 2.84 peratus berbanding tahun 2012 (RM1.950 bilion).

Daripada jumlah tersebut, 89.9 peratus adalah diunjurkan diperolehi daripada sumber Kerajaan Pusat, khususnya Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan pemberian tahunan manakala bakinya adalah daripada sumber negeri.

Beliau berkata, dengan mengambilkira jumlah hasil dan perbelanjaan mengurus RM1.995 bilion, Bajet 2013 menjurus kepada Belanjawan lebihan sebanyak RM10 juta di mana penyediaannya sangat tepat dan selari dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan perbelanjaan secara berhemah dan komitmen untuk mengurangkan defisit terkumpul dalam Akaun Hasil Disatukan.

“Adalah menjadi harapan dan cita-cita kerajaan untuk menyediakan satu bajet yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat, menjana pertumbuhan ekonomi negeri, melakukan perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit,” katanya.

Beliau berkata, Bajet 2013 mengambilkira perencanaan Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu Tahun 2009 – 2013, Bidang Keberhasilan Utama Negeri, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-10.