Halaman

27 December 2012

Ampangan Paya Beda,Hulu Besut tidak pecah



Oleh: Mohammad Ishak 

Pihak pengurusan projek pembinaan Ampangan Paya Beda,Hulu Besut,terpaksa bertindak membina saliran air bagi mengalirkan air keluar dari takungan ampangan berkenaan bagi mengelak berlakunya kejadian banjir lebih buruk di Hulu Besut.

Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara, Mohd Kabri Abdul Ghani berkata, jika tindakan sedemikian tidak dilakukan dikhuatiri banjir besar akan berlaku secara mendadak kerana takungan air ampangan itu berada pada tahap luar biasa.

Katanya, sebelum tindakan itu diambil pihaknya bersama pengurusan pembinaan projek itu sudah berbincang dengan penduduk dan tindakan yang perlu dilakukan bagi menyelamatkan penduduk daripada berlakunya banjir besar.

Menurutnya, hujan lebat berlebihan berlaku Isnin lalu menyebabkan takungan air ampangan yang dalam pembinaan itu berada pada tahap kandungan air 29 meter padu.


Projek berharga RM300 juta yang dimulakan pembinaan tahun lalu dan dijangka siap akhir 2013 bertujuan membekalkan air kepada 8,000 petani di daerah Besut dan Setiu selain membekarkan sumber air asli untuk kegunaan penduduk daerah berkenaan.

Mohd Kabri berkata, beliau menolak dakwaan penduduk mengenai ampangan itu pecah menyebabkan limpahan air berlebihan sehingga mengakibatkan banjir besar berlaku di Hulu Besut terutama penduduk Kampung Padang Bual.

 “Kami melakukan tindakan semata-mata untuk menyelamatkan penduduk dan jika tidak berbuat demikian dikhuatiri takungan air ampangan itu akan melimpah dan menjadi banjir kilat,” katanya

Beliau berharap, penjelasan itu tidak lagi menjadi isu kepada penduduk daerah Besut yang sebelum ini melemparkan pelbagai tanggapan terhadap usaha kerajaan membina ampangan terbabit.