Halaman

25 November 2012

UMT wujud tiga pusat kecemerlangan penyelidikan

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menubuhkan tiga pusat kecemerlangan penyelidikan iaitu Institut Oseanografi dan Sekitar (INOS), Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) dan Institut Bioteknologi Marin (IMB), Pusat Pembangunan Sosioekonomi (CSD).


Naib Canselor UMT, Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, kewujudan ketiga-tiga institut ini bertujuan menggalakkan tenaga pengajar di sini melibatkan diri dalam bidang penyelidikan yang memberi tumpuan kepada pembangunan sumber laut dan pesisir pantai.

“Paling membanggakan apabila Kementerian pengajian Tinggi (KPT) telah mengiktiraf INOS sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) yang ke tujuh di negara ini,” katanya di majlis Konvokesyen Ke-10 UMT semalam.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah merangkap Canselor UMT berkenan berangkat mengurniakan ijazah kepada 2, 080 graduan termasuklah 1,866 ijazah sarjana muda , diploma (102 orang), ijazah sarjana (98) dan ijazah doktor falsafah (13).

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis tersebut. Hadir sama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Pro-Canselor UMT Tan Sri Samsudin Osman dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 “Dengan pengiktirafan ini membolehkan INOS menerima dana RM3 juta setahun untuk tempoh tiga tahun bagi melonjakkan keupayaan dan pencapaiannya dalam bidang tujahan Kelestarian Ekologi Marin,” katanya.

Katanya, UMT juga menyahut cabaran sebagai peneraju pembangunan ECER dengan menubuhkan Institut Penyelidikan Kenyir yang bukan sahaja memberi tumpuan terhadap kajian aspek akuakultur air tawar tetapi juga penerokaan komponen pembangunan penting seperti kesejahteraan komuniti pinggiran tasek, kepelbagaian warisan tabie dan budaya serta pemajuan pelancongan berasaskan ilmu.

Tambahnya, tanpa mengenepikan peranan universiti sebagai sebahagian entiti masyarakat UMT turut menabur bakti melalui program kemasyarakatan seperti program cakna masyarakat oleh Pusat Jaringan Industri dan Khidmat Komuniti (INCOMS) yang memilih keluarga miskin untuk diberi bantuan.

Dato’ Dr Ibrahim kemudiannya mengingatkan graduan tidak mensia-siakan harapan dan pengorbanan ibu bapa yang banyak berkorban untuk kejayaan semua.

 “Penilaian masyarakat bukanlah terhadap nama universiti tempat anda bergraduat, tetapi ketrampilan diri serta penguasaan ilmu yang dipamer semasa berhadapan dengan masyarakat dan pastikan jiwa anda sentiasa besar dan berkeyakinan,” tegasnya

.