Halaman

19 November 2012

Tindakan Pas terdesak-MB

Oleh: Suriati Ali


 Tindakan Pas menganjurkan solat hajat mendoakan kehancuran Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai terdesak dan jelas menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata sebagai orang Islam tidak sewajarnya berperangai seperti itu di mana mendoakan umat sendiri ditimpa musibah.

 “Islam sendiri tidak menggalakkan kita mendoakan keburukan kepada orang lain dan tindakan mereka ini membuktikan seolah-olah puak itu melakukan kerja-kerja Allah.

“Seperti kenyataan mereka sebelum ini yang sewenang-wenangnya menentukan siapa akan masuk syurga dan siapa yang berdosa,” katanya.

 Katanya, Pas sebenarnya berfikiran celaru dan fakta yang dinyatakan sentiasa berubah, dulu pemimpin mereka pernah menyatakan golongan wanita tidak boleh mengaji al-Quran di khalayak ramai.

 “Pada masa sama wakil rakyat perempuan parti itu memaki hamun orang, berceramah dan fitnah orang di atas pentas, adakah itu tidak aurat, mengaji pula aurat, ini adalah tidak benar.

 “Sekarang nak tambah calon wanita pada pilihan raya akan datang, kalau puak itu yang lakukan boleh, BN pula dikatakan haram bila melaksanakannya. Ini perkara pelik, tak kan fakta dan undang-undang Islam itu boleh berubah-berubah,” katanya.

 Katanya, dia meminta rakyat khususnya di Terengganu berfikiran terbuka dan selidik dengan kenyataan yang dikeluarkan pemimpin pembangkang kerana jelas terdesak dan jauh daripada ajaran Islam.

 “Apa yang dinyatakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang mengatakan orang Melayu bebas untuk memilih agama, semua senyap dan tidak berani untuk berssuara,” katanya