Halaman

01 November 2012

Tidak berhasrat balik Kelantan

Oleh; Esah Abdullah

Saya tidak berminat untuk balik ke negeri asal saya Kelantan sebaliknya serasi dan selesa menjadi pendidik di negeri ini kerana pelbagai kemudahan pendidikan disediakan kerajaan negeri untuk pelajar dan guru di sini.

Cik Rubinidevi a/p Velod, 26, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Kuala Terengganu menyatakan demikian ketika ditemui di majlis Pengagihan Komputer Riba kepada Guru-guru Tahun 5, di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Beliau yang mengajar bahasa Inggeris bagi Tahun 2 dan 5 merasa beruntung kerana ditugaskan ke negeri ini setelah tamat pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras dua tahun lalu.

 “ Kerajaan negeri ini begitu ambil berat terhadap perkembangan pelajar-pelajar dan juga guru di negeri ini malah kalau diberi pilihan saya ingin terus berkhidmat di sini,” katanya yang turut menerima komputer riba daripada Menteri Besar.


Sementara itu Encik Tan Chong Huat, 57, guru SK Gong Kapas Kuala Terengganu menyifatkan apa yang dilaksana keajaan negeri bertepatan dengan zaman siber yang semua urusan berada dihujung jari.

“Sekarang pelajar dan guru bertukar nota pelajaran melalui kemudahan IT di mana guru menghantar soalan latihan terus ke e-book milik pelajar,” katanya yang berpengalaman 32 tahun menjadi pendidik.

Katanya, apa yang kerajaan rancang hari ini untuk kebaikan pelajar itu sendiri apabila berada di pusat pengajian tinggi nanti kerana di sana semua nota pembelajaran tidak lagi menggunakan kertas sebaliknya melalui talian terus.


Manakala Wan Shamsuria Wan Lias, guru SK Kijal Kemaman berkata ramai rakan sealiran yang bertugas di luar Terengganu menyatakan cemburu dengan pelajar dan guru di negeri ini yang mendapat perhatian lebih dari kerajaan.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan yang memberi banyak kemudahan kepada para guru bagi melancarkan tugasan di sekolah contohnya komputer riba untuk menyimpan makumat pelajar bagi bagi persekolah tahun depan,” katanya.