Halaman

05 November 2012

Terengganu hilang dua lagi tonggak

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terpaksa menerima hakikat kehilangan dua lagi tonggak utama selepas berdepan kehilangan 10 pemain, apabila kedua-dua pemain berkenaan mengambil keputusan menukar angin bagi menyertai pasukan adik , T-Team pada musim depan.

Pemain bekenaan, Marzuki Yusof dan Mazlizam Mohamad kini sah menyarung jersi T-Team selepas mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk berhijrah.

Menurut Presiden PBSNT, Dato’ Che Mat Jusoh, persatuan tiada pilihan selain mengambil keputusan untuk melepaskan kedua-dua pemain itu bagi membolehkan mereka meneruskan karier bersama pasukan baru. 

Katanya, pemain terbabit menyatakan hasrat untuk berhijrah dan PBSNT tidak akan menghalang keinginan mana-mana pemain yang ingin menyertai pasukan lain, namun ia perlu dibuat menerusi saluran yang tepat dan mendapat persetujuan serta rundingan secara bersama antara semua pihak yang terlibat.

"Kita mengambil keputusan ini setelah mengadakan rundingan secara bersama dan ia adalah yang terbaik demi pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

 "Kita juga tidak mempunyai sebarang masalah berhubung mana-mana pemain yang ingin berhijrah ke pasukan lain, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara yang betul kerana buat apa mahu sekat sekiranya mereka mahu pergi. Kita mahukan pemain yang maju berjuang bersama pasukan,"katanya.

Dato’ Che Mat juga berharap dengan penghijrahan mereka ke pasukan berstatus kelab itu, mereka mampu melonjakkan lagi prestasi sukan bola sepak Terengganu.

Kapten pasukan (Marzuki) dan pemain pertahanan kanan kelahiran Perlis (Mazlizam) antara 12 pemain skuad Penyu yang meminta pelepasan daripada menyertai skuad itu musim depan selain Mohd Sharbinee Allawee (penjaga gol); Mohd Muslim Ahmad (pertahanan); Abdul Hadi Yahya (penyerang); tiga pemain tengah, Joseph Kalang Tie; Reeshafiq Alwi dan Shukor Jusoh.

Pemain lain yang turut berhijrah adalah Hariri Mohd Shafie (pertahanan) dan Ailim Fahmi Kamaruddin (penyerang), manakala PBSNT turut memutuskan tidak memperbaharui kontrak dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva.