Halaman

25 November 2012

Sekolah luar bandar cemerlang hasil bantuan kerajaan

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib

Kemampuan sekolah-sekolah luar bandar mencatat kejayaan luar biasa dengan memonopoli 10 sekolah terbaik Terengganu dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang lalu, membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan di sekolah rendah di luar bandar.

Kini tidak ada perbezaan antara sekolah rendah di bandar dengan luar bandar kerana murid-murid yang berada di sekolah bandar dan luar bandar mempunyai kemudahan yang setaraf.

Malah, dengan adanya pelbagai kemudahan itu, termasuk e-Book untuk semua murid Tahun 4 hingga Tahun 6 di luar bandar, mereka mampu mencatatkan kejayaan luar biasa melebihi daripada rakan-rakan mereka yang berada di bandar.

Keputusan peperiksaan UPSR terbaru menunjukkan empat sekolah rendah di Hulu Terengganu tersenarai sebagai 10 sekolah yang merekodkan pencapaian terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) dalam UPSR 2012.

Lebih membanggakan Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu (1.12) di Hulu Terengganu muncul sekolah terbaik di Terengganu dalam keputusan UPSR tahun ini.

Manakala lapan sekolah luar bandar lain iaitu SK Kemat (1.23), SK Teris (1.34), SK Kuala Berang (1.37), SMK Chalok (1.23), SK Kampung Bari Sungai Tong (1.50), SK Kampung Jaya, Setiu (1.51), SK Tepus, Dungun (1.51) dan SK Tok Dor, Besut (1.52) muncul antara 10 terbaik di Terengganu.

Dalam memastikan semua murid sekolah rendah, termasuk di luar bandar yang berada di Tahun 4 hingga Tahun 5 memiliki komputer riba, kerajaan negeri memberikan e-Book secara percuma kepada mereka.

Tidak ketinggalan, guru-guru yang mengajar murid-murid tersebut turut dibekalkan komputer riba yang juga diberi secara percuma.

Mereka juga dibekalkan dengan soalan-soalan latih tubi bagi mengekalkan kecergasan minda menjelang peperiksaan, sejak awal tahun lagi.

Begitu bersungguh pemimpin kerajaan negeri menyediakan segala kemudahan kepada murid-murid berkenaan bagi memastikan kecemerlangan pelajaran mereka, sejak bertahun-tahun lalu.

Dan hasilnya, dapat kita sama-sama saksikan bila keputusan peperiksaan diumumkan di mana murid-murid di negeri ini lulus dengan cemerlang, terutama di kalangan mereka yang berada di sekolah-sekolah luar bandar.