Halaman

14 November 2012

PTPTN buka cawangan di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini mempunyai cawangan di negeri Terengganu dan beroperasi di Tingkat 1 dan 2, Dataran Emas di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Pengurusnya, Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman berkata, pejabat PTPTN negeri telah mula beroperasi pada 11 September lalu dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang disediakan adalah termasuk urusan pembiayaan pendidikan, bayaran balik pembiayaan dan juga pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

 “Sehubungan itu, orang ramai boleh membuat sebarang urusan berkaitan di pejabat PTPTN pada waktu pejabat, iaitu pada hari Ahad hingga Rabu bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang manakala pada hari Khamis bermula 8.30 pagi hingga 3.30 petang,” katanya.