Halaman

16 November 2012

PSP tawar khidmat nasihat percuma

Oleh: Suriati Ali

Pusat Sehenti Peladang (PSP) sedia membantu jika petani, peladang dan peternak di Terengganu ingin mendapat khidmat nasihat secara percuma berkaitan tanaman dan ternakan milik mereka.

 Pelbagai perkara boleh dirujuk kepada pegawai bertauliah dan berpengalaman yang sedia berkhidmat di empat cawangan PSP iaitu di Pulau Serai, Dungun; Kampung (Kg) Tok Has, Seberang Jertih; Telaga Mengkudu, Bukit Payung dan Kg Kedai Tepoh, Tepoh.

 PSP yang diwujudkan melalui syarikat Natural Greencare Corporation (NGC) Sdn Bhd itu turut menjalankan kajian dan penyelidikan mengenai daun serta tanah; menjual pelbagai kelengkapan pertanian, makanan haiwan dan baja organik berjenama Nature Grow.

Pengurus Besar Wilayah Terengganu/Kelantan syarikat itu, Encik Zainuddin Yusof, berkata PSP yang ditubuhkan awal 2005 kini memiliki hampir 5,000 ahli dan pelanggan tetap.

 Katanya, mereka mengakui gemar berurusan di PSP kerana bukan saja mudah memperoleh produk yang diperlukan malah menjadi tempat rujukan setiap kali mempunyai masalah mengenai tanaman.

 “Produk paling digemari adalah baja organik Nature Grow yang dihasilkan menggunakan sisa buangan kacang soya dan bahan kimia dibenarkan.

 “Baja organik ini mempunyai pelbagai kelebihan, antaranya menggalakkan sistem akar, meningkatkan daya tahan pokok, menyuburkan tanaman berbunga dan berbuah,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, dalam kontek pembajaan tanaman padi, baja jenama itu mampu meningkatkan hasil padi 8 hingga 10 tan metrik sehektar.

 “Apabila perkara itu berlaku secara tidak langsung dapat membantu hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan seterusnya membasmi kemiskinan golongan petani.

“Pihak berkaitan tidak perlu ragu atau bimbang dengan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan PSP kerana dijamin berkualiti dan bermutu tinggi.

“Pegawai yang dilantik sedia membantu serta turun padang, jika pelanggan mempunyai masalah berkaitan penjagaan dan membaja tanaman,” katanya.

Encik Zainuddin berkata, pelbagai pendekatan dijalankan NGC semata-mata mahu memperkenalkan PSP kepada masyarakat termasuk menyertai ekspo anjuran kerajaan Terengganu.

 Katanya, pihaknya bercadang untuk terus melebarkan syarikat perniagaan NGC kepada skop lebih meluas di mana PSP turut dijadikan sebagai lokasi penempatan dan pengumpulan hasil getah, kelapa sawit , sayuran dan buah-buahan.

 “Apabila dilaksanakan kelak, pekebun atau petani boleh menjual kepada PSP sebelu ia dipasarkan pemborong utama ,” katanya.