Halaman

21 November 2012

Perbanyakan kursus bahasa Inggeris dan Sains kepada guru berkaitan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan memperbanyakkan kursus matapelajaran bahasa Inggeris dan Sains kepada guru subjek itu, bermula tahun depan, bagi mengekal dan meningkatkan pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti tahun-tahun sebelum ini

Pada masa sama, kelas tambahan kepada murid berkaitan turut diperbanyakkan semata-mata mahu membantu pelajar cemerlang dalam semua subjek.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata apa dilaksanakan itu semata-mata mahu membaiki kelemahan UPSR lalu di mana berlaku sedikit kemerosotan berbanding tahun terdahulu.

 Katanya, semua pihak perlu tahu, kemerosotan UPSR bukan saja dialami Terengganu malah peringkat negara turut mengalami masalah sama.

“Pelajar yang disasarkan mendapat keputusan 5A dan lulus semua subjek didapati menurun disebabkan beberapa faktor.

 “Kita mengakui soalan yang diberi agak sukar dijawab terutama bagi mata pelajaran Sains dan bahasa Inggeris., tetapi itu tidak menjadi persoalan besar, yang penting kita akan usaha membaiki kelemahan dengan memperbanyakkan kursus dan kelas tambahan .

 “Tahun lepas, kita sudah mengeluarkan belanja tambahan RM1.2 juta selepas mengetahui keputusan percubaan UPSR merosot, tetapi apa boleh buat, ia tetap tidak berjaya untuk mencapai apa yang dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu dianggarkan sebanyak 9.7 peratus atau 200 murid tahun enam di seluruh negeri yang disasarkan mendapat 5A tetapi hanya mendapat keputusan 4A 1B sahaja.

“Sedangkan mereka tidak pernah mendapat keputusan seperti itu dalam peperiksaan percubaan dan peperiksaan lain sebelum ini,” katanya