Halaman

12 November 2012

Penjaja digesa berdaftar dengan SSM

Oleh; Esah Abdullah

Penjaja dan peniaga kecil di negeri ini diminta mendaftar segera untuk mendapat manfaat daripada skim perlindungan insurans berkelompok bagi memperkasa ekonomi usahawan.

 Timbalan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Encik Ab Ghani Harun berkata, sebahagian besar penjaja dan peniaga kecil di negeri ini tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Bilangan mereka memang ramai ramai, tapi tidak pernah berdaftar dengan SSM, jadi mereka terlepas peluang menikmati skim perlindungan insuran berkelompok,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bajet Belanjawan 2013 memperuntukkan sebanyak RM16 juta setahun di bawah skim insurans tersebut yang memberi perlindungan maksimum RM5,000 kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar.

 “Saya sarankan mereka yang belum berdaftar terutama penjaja dan peniaga kecil di kampung-kampung berdaftar segera supaya dapat memanfaatkan skim insurans yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Mana-mana penjaja dan perniagaan yang telah mendaftarkan perniagaan mereka, bolehlah daftar untuk skim perlindungan insuran pula pejabat KPNDKK Kuala Terengganu, ataupun di mana-mana cawangan,” katanya yang juga Setiausaha Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri (MPPPKN)
Terengganu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Fungsi-Fungsi dan Peranan KPDNKK kepada Penjaja dan Peniaga di Restoran Terapung, Kuala Terengganu.

Menurutnya, insurans itu bukan sahaja melindungi peniaga tetap yang mempunyai syarikat sebaliknya peniaga sementara termasuk yang berjaja di bazar ramadan atau di kaki lima mahupun di pasar malam.

Katanya usaha kerajaan ini adalah untuk menjaga kebajikan golongan penjaja dan peniaga kecil sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian.