Halaman

10 November 2012

Pengendali komputer perlu jaga maklumat parti


Peserta kursus pengendali kumputer UMNO Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Pengendali komputer yang bertugas di bilik gerakan dan pusat mengundi perlu beramanah dan tidak membocorkan rahsia parti kepada pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Muhammad Pehimi Yusof yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Besut berkata, banyak maklumat yang terkandung dalam sistem perlu dikawal dan tidak mudah diceroboh oleh pihak lawan.

Oleh itu, sebagai petugas komputer mereka adalah aset penting untuk menjaga rahsia dan maklumat parti daripada dibocorkan yang boleh menjadi modal dan strategi pembangkang terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU13) nanti.

Muhammad Pehimi mengingatkan perkara demikian kepada peserta kursus pengendalian komputer kepada Ketua Peti Undi dan Puteri UMNO Bahagian Besut, di Kem Seri Keluang, dekat Jertih, hari ini.

Kursus sehari anjuran Badan Perhubungan UMNO Terengganu dengan kerjasama Puteri UMNO Besut itu disertai 250 peserta dari seluruh cawangan di bahagian berkenaan.

Beliau berkata, semua petugas hendaklah memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh parti kerana mereka menjadi aset penting menyimpan maklumat parti.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Besut, Che Senah Sulaiman berkata, kursus berkenaan sebagai usaha untuk meningkatkan lagi kemahiran pengendali komputer yang mengandungi pelbagai maklumat dan data parti.