Halaman

22 November 2012

Pembinaan hotel mampu beri impak besar kepada Tasik Kenyir

Oleh: Suriati Ali

 Inisiatif kerajaan negeri membina hotel bertaraf tiga bintang dengan kelengkapan 200 bilik di Pulau Bayas, Tasik Kenyir bakal memberi impak besar kepada industri pelancongan di tasik itu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, usaha yang dirintis telah mula menyakinkan sektor swasta untuk bersama-sama membangunkan dengan kos pelaburan keseluruhan dijangka mampu mencecah RM1 billion.

Katanya, Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selaku agensi peneraju pembangunan tasik itu telah menggerakkan usaha awal bagi memastikan ia dapat disiapkan menjelang Ogos 2012 sebagai zon bebas cukai.

 “Kerajaan Negeri , Ketengah serta agensi-agensi lain optimis bagi memastikan Tasik Kenyir menjadi destinasi pelancongan unggul," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Pemimpin Muda di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pergerakan Pemuda Umno Terengganu Encik Saiful Bahari Baharuddin.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut melancarkan Tabung Prihatin Gaza bagi mengutip sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai semata-mata mahu meringankan kesengsaraan penduduk di Palestin yang dizalimi tentera rejim zionis Israel.

 Katanya, kawasan bebas cukai di Pulau Bayas sedang dibangunkan dengan peruntukan awal RM100 juta bagi penyediaan prasarana termasuk pembinaan jeti, kompleks persinggahan dan premis perniagaan.

 “Pulau Bayas merupakan pulau terbesar di antara 340 pulau di dalam tasik yang berkeluasan kira-kira 700 hektar dan daripada keluasan itu, sebanyak 400 hektar akan dimajukan pada peringkat awal projek,” katanya.