Halaman

19 November 2012

Pameran merupakan medium utama sebar maklumat

Haji Mohd Yusof menemani Dato' Abdul Rahin melihat pameran.
Oleh; Esah Abdullah

Pameran merupakan medium utama dalam usaha menyebarkan maklumat dan mendidik masyarakat bermaklumat di samping memberi input yang amat penting dan berguna kepada semua.

 Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, melaluinya pelawat didedahkan dengan sejarah awal Islam, al-Quran, manuskrip, tokoh ilmuan,inovasi , kreativiti, kraf dan senibina.

“Banyak yang boleh diketengahkan bagi menarik minat ramai dengan informasi dan koleksi yang istimewa,” katanya di majlis perasmian Pameran Islamik sempena Maal Hijrah 1434H di Kompleks Muzium Negeri Terengganu hari ini.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah.

Katanya, beberapa aktiviti dirancang bagi menghidupkan suasana sepanjang pameran berlangsung antaranya kuiz di geleri dan radio, sembang-sembang suadara baru, persembahan nasyid, klinik al-Quran, klinik khat dan jawi serta gerai jualan.

“Saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke pameran ini yang banyak memaparkan bahan-bahan sejarah dari serata pelusuk tanah air,” katanya.

Menurutnya, selain koleksi Muzium Terengganu turut menyumbang bahan pameran ialah TV Al Hijrah, Perpustakaan Negara Malaysia, Muzium Kesenian Islam, Jabatan muzium Malaysia, Perbadanan Muzium Melaka, Kelantan dan Kedah,Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor. Institut al-Quran Terengganu.

Selain itu katanya, pameran ini juga memaparkan satu konsep Islam secara global yang mampu memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang islam secara umum.