Halaman

08 November 2012

Nurul Izzah keterlaluan-Dato' Seri Mohd Shafie Apdal

Oleh; Esah Abdullah

Kenyataan Naib Predisen PKR, Nurul Izzah Anwar sudah keterlaluan bila membuat kenyataan bahawa Melayu Islam di negara ini bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Nurul Izzah tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan umat Islam di negara ini.

“Walau pun kita tahu ada kebebasan beragama tetapi ia untuk agama lain bukannya bagi yang ber agama Islam,” katanya kepada pemberita di majlis Penyampaian Kunci Rumah dan Sijil Penghargaan Kursus Latihan Kemahiran di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.

Dato’ Seri Mohd Shafie diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai pada forum ‘Islamic State : Which Version Whose Responsibility’ baru-baru ini.

Ekoran daripada kenyataan itu, Nurul Izzah dikecam hebat oleh pelbagai pihak dan dianggap sebagai cakap politik untuk memancing undi orang bukan Islam menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

 “Kita selaku pemimpin Islam tidak sewajarnya mengeluarkan kata-kata yang boleh mengelirukan rakyat apatah lagi membabitkan agama rasmi di negara ini,” katanya

Menurutnya, menjadi kewajipan pemimpin Islam mengukuhkan dan mempertingkatkan lagi syiar Islam kalangan rakyat agar tidak terpesong.

Malah katanya, jangan disalah erti mengenai kebebasan beragama serta usah bercakap jika tidak mendalaminya tentang maksud kebebasan itu.

 Tambahnya, akidah dan pengangan agama Islam perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bukan dilonggarkan atau ditukarkan.