Halaman

06 November 2012

Nafi tohmahan soalan UPSR bocor

Oleh: Suriati Ali

YB Muhammad Ramli Nuh menyampaikan Anugerah Tokoh Murid kepada pelajar Tahun Enam, Wan Aliyah Wan Abd Aziz di SKBC, semalam. 

Kerajaan negeri menafikan tohmahan yang tersebar bahawa kecemerlangan yang dicapai calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Terengganu disebabkan soalan bocor.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata kejayaan Terengganu mengekalkan prestasi terbaik 11 tahun berturut-turut disumbangkan beberapa faktor termasuk kerja keras guru-guru, keprihatinan ibu bapa dan kesungguhan murid.

 "Ini adalah tanggapan negatif masyarakat luar yang tidak tahu betapa seriusnya jabatan dengan kerjasama erat kerajaan negeri mahu menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru dalam dunia pendidikan di Malaysia.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar serta memberikan pelbagai kemudahan kepada pelajar di Terengganu bagi memastikan mereka berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang dan Graduasi Kanak-kanak Pra Sekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Chempaka (SKBC), Batu Rakit, Kuala Terengganu, petang semalam.

 Hadir sama, Guru Besar SKBC Haji Saikh Kamaruden Saikh Ismail dan Pengerusi Ibu Bapa dan Guru, Encik Wan Khairul Arifin Dato’ Wan Ibrahim.


Sebahagian murid cemerlang menunjukkan hadiah yang diperoleh 

YB Haji Muhammad Ramli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh turut memberitahu bahawa setiap murid yang mementingkan pelajaran akan berjaya dalam kehidupan kelak.

“Jangan jadikan alasan datang daripada keluarga miskin atau susah untuk seseorang itu tidak meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Jika berfikiran seperti itu, kita tidak akan ke mana serta gagal mengubah kehidupan keluarga masing-masing ,” katanya.