Halaman

07 November 2012

NAFAS tubuh bank peladang

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan menubuhkan Bank Peladang bagi kemudahan golongan peladang mendapatkan pinjaman selain meningkatkan pendapatan golongan itu melalui Dana Peladang Kebangsaan (DPK) yang akan dilancarkan pada Disember ini.

Pengurus DPK, Encik Nazwan Fauzan berkata, penubuhan DPK bertujuan mengumpul dan menggembeleng sumber dana ahli Pertubuhan Peladang seluruh negara yang akan digunakan dalam projek ekonomi berdaya maju supaya ahli mendapatkan kemudahan pinjaman daripada dana berkenaan.

Katanya, Nafas mensasarkan dana sebanyak RM700 juta dapat dikumpulkan menjelang 2020.melalui pengumpulan dana sebanyak RM10 sebulan oleh seramai 801,132 ahli daripada 14 Pertubuhan Peladang seluruh negara yang merangkumi 276 kawasan,

Beliau berkata, sehingga kini, Nafas mempunyai ahli seramai 801,132 yang terdiri daripada golongan peladang yang sudah menjadi ahli untuk mencarum sebanyak RM10 sebulan setiap seorang ke dalam dana ini.

 “Melalui pengumpulan dana itu, ia akan dijadikan pinjaman kepada ahli supaya sumber itu boleh disumbangkan semula kepada pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Taklimat Penubuhan dan Operasi DPK di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Encik Shamsuddin Mat Rani dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Encik Sawalluddin Ahmad.

Encik Nazwan berkata, Nafas dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas bagi meningkatkan sosio ekonomi golongan peladang.

Katanya, selain menyahut seruan kerajaan dalam menjayakan transformasi, DPK juga ingin membantu golongan peladang untuk keluar daripada kelompok kemiskinan.

``Jika sebelum ini mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, melalui dana ini diharapkan dapat membantu membaiki dan meningkatkan lagi projek-projek mereka, ia akan sekaigus membawa kepada peningkatan pendapatan peladang kepada RM4,000 hingga RM5,000 sebulan,” ujarnya.

Sementara itu, Nafas mempunyai kilang baja di Gurun, Kedah, mengusahakan Perladangan Sawit di Indonesia, menjadi pembekal input pertanian dan menjadi induk kepada bekalan ayam dan daging kepada institusi kerajaan.