Halaman

05 November 2012

MKJR mahu AES diteruskan

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketika ramai pihak yang mempertikaikan dasar kerajaan menggunakan pendekatan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) menyokong penuh inisiatif itu bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Leslie Leon yakin kaedah itu merupakan satu lagi usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya yang masih tinggi.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) berkata, langkah itu bukannya bertujuan menyusahkan pengguna tetapi melatih mereka berdisiplin dan mengubah tabiat buruk.

 "Berilah peluang kepada penggunaan AES untuk melihat keberkesanannya terlebih dahulu. “Malah sistem tersebut telah banyak digunakan di negara-negara maju dan ternyata keberkesanannya,” katanya kepada pemberita pada majlis Makan Malam dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53 MKJR Malaysia di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin (3 November).

Leslie berkata, sempena mesyuarat agung itu, pihaknya turut mengadakan seminar sehari yang menyentuh mengenai pelbagai usaha yang digerakkan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya menerusi pembentangan oleh tiga ahli panel termasuk daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).