Halaman

09 November 2012

>Majlis Daerah Besut (MDB) sedia peruntukan segera jika berlaku banjir

Oleh: Mohammad Ishak

Majlis Daerah Besut (MDB) menyediakan peruntukan segera kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membiayai kos membaiki saliran perparitan dan longkang bersumbat jika berlaku banjir di kawasan terbabit.

Yang Dipertua MDB, Ibrahim Mohamad (gambar) berkata, semua pengerusi JKKK diminta mempastikan keadaan sistem perparitan sentiasa dalam keadaan baik jika berlaku hujan bagi mengelak tidak berlaku banjir kilat terutama di kawasan perumahan.

Katanya, pengerusi JKKK boleh menghubungi MDB atau Pejabat Penyelaras DUN masing-masing untuk memaklumkan keperluan yang diberi perhatian ketika berlaku banjir.

Menurutnya,pihak MDB akan menyalurkan peruntukkan khas terutama untuk mengali parit, membersih longkang dan kerja-kerja berkaitan ketika berlaku banjir di kampung masing-masing.

“Pengerusi JKKK boleh menghubungi pegawai terbabit untuk mendapatkan khidmat jentera mengorek dan keperluan lain,” katanya ketika menghadiri majlis bersama Pengerusi JKKK Kawasan DUN Jertih, semalam.

Pada majlis itu Ibrahim memaklumkan peruntukkan RM30,000 kepada pejabat penyelaras DUN Jertih untuk aktiviti pembersihan dan baik pulih sistem perparitan ketika banjir.

Sementara itu,Pegawai Penyelaras Banjir Sektor Jertih,Saidi Salleh berkata, semua agensi yang terbabit dalam bantuan banjir di DUN Jertih sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir tahun ini.

Katanya, pengerusi JKKK juga perlu peka dengan keadaan banjir di kawasan masing-masing dan bertindak segera dengan menghubungi bilik gerakan di Pejabat Daerah Besut jika memerlukan bantuan.