Halaman

12 November 2012

Larian Perpaduan erat silaturahim

Oleh :Amirullah Othman 

Program Larian Perpaduan anjuran bersama KRT Kampung Bukit Rhu Rendang, JKKK Kampung Bukit Rhu Rendang, Persatuan Belia MAYC Kampung Bukit Rhu Rendang, di Taman Kalongan Melor, semalam menarik penyertaan 600 orang.

Penyertaan yang menggalakkan itu menggambarkan semangat kekeluargaan yang tinggi di kalangan masyarakat tempatan dan ianya wajar diteruskan supaya anak-anak cucu penduduk di kawasan itu mewarisi generasi prihatin.

Mulai jam 7.30 pagi, semua peserta bersama-sama melakukan senamrobik yang di bimbing oleh jurulatih terlatih.

Program itu diteruskan dengan pertandingan larian perpaduan meliputi pelbagai kategori di mana acara pelepasan dilakukan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar.

Riak wajah gembira dan inginkan kemenangan terpancar di setiap wajah para peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan veteran.

Wan Kamaludin Wan Chik, Pengerusi JKKK Kampung Bukit Rhu Rendang ketika ditemubual wartawan Teganukita melahirkan rasa syukur kehadrat Allah kerana cuaca sangat baik dan membolehkan program itu berjalan lancar.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada JabatanPerpaduan, Pejabat Belia dan Sukan, IPD Marang, Rela Marang dan MAYC Marang kerana dengan sokongan dan bantuan badan-badan ini, program tersebut dijayakan dengan lancar.

Katanya, kawasan itu sememangnya tidak sunyi dengan program-program kerana semua penduduk memberi sokongan yang sangat baik bagi setiap program yang diadakan.

Menurutnya, minggu depan pihaknya akan mengadakan program berkhatan beramai-ramai bagi kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun.