Halaman

21 November 2012

Kerajaan terbit 1,000 prosa kata loghat Terengganu pelancong

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Penulis Terengganu (Pelita) akan menerbitkan makalah kecil prosa kata loghat rakyat tempatan untuk diedarkan kepada pelancong domestik dan luar sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, sehingga ini terdapat lebih 1,000 prosa kata loghat Terengganu dari daerah-daerah berjaya dikumpul.

“Kita juga turut mencetak buku kuih-kuih tradisional negeri ini dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi),” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Pameran Islamik sempena Maal Hijrah 1434H di Kompleks Muzium Terengganu.

Menurutnya, negeri ini kaya dengan pelbagai jenis kuih tradisional yang sebahagiannya tidak lagi dikenali oleh generasi baru.

 Sehubungan itu katanya, terdapat 500 bilik hotel, chalet dan rumah penginapan baru diwujudkan bagi menampung limpahan pelancong ke negeri ini dengan sasaran empat juta orang tahun depan.

Beliau juga mengingatkan peniaga barangan kraf dan pengusaha makanan di negeri ini tidak mengambil kesempatan dengan menaikan harga makanan sempenan TMT nanti.

“Saya harap mereka perlu memikirkan keuntungan jangka panjang kerana keuntungan dalam jangka masa singkat kebiasaanya tidak bertahan lama dan mereka akan serik untuk datang kali kedua,” katanya.

Dato’ Haji Abdul Rahin seterusnya meminta pihak penguatkuasaan sentiasa membuat pemantauan dan penyelarasan secara berkala mengenai harga makanan dan barangan di negeri ini bagi mengelak kenaikan harga mendadak yang boleh menjejaskan imej negeri.