Halaman

12 November 2012

Kekurangan pekerja lambatkan Projek Pembinaan Jambatan Bukit Kuang

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Tinjauan lawatan kerja Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ke tapak projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang pagi tadi, mendapati projek itu berjalan agak lambat akibat kekurangan pekerja.



Status semasa projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang masih berbaki 30% untuk disiapkan sepenuhnya bagi kemudahan rakyat setempat yang menjadikan jambatan itu sebagai laluan utama mereka.

Keseluruhan jumlah projek itu menelan kos RM185 juta, namun kontraktor hanya mengupah pekerja seramai 60 orang.

Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan nilai projek mencecah ratusan jutaan ringgit.

Menteri Besar berharap masalah tersebut dapat diselesaikan dengan segera dan meminta pihak yang bertanggungjawab dapat membuat tambahan pekerja secepat mungkin memandangkan pembinaan jambatan perlu disiapkan sebelum September 2013.

Apabila projek jambatan ini disiapkan akhir tahun 2013, akan bermula projek baru yang telah diluluskan Perdana Menteri di sekitar Bandar Kijal dengan pembinaan jalan raya empat lorong bagi melancarkan kesesakan lalu lintas.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafar Khalid dan ketua-ketua jabatan berkaitan.