Halaman

16 November 2012

JKNT kenalpasti lokaliti bermasalah bagi tangani denggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengenalpasti kawasan bermasalah denggi di setiap daerah dengan melihat kepada kejadian kes denggi, penemuan tempat pembiakan aedes yang banyak serta tahap kebersihan persekitaran di setiap kawasan sebagai aktiviti utama bagi menangani masalah denggi menerusi Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Denggi Khas.

Pelan tindakan yang dilaksanakan dalam tempoh dua bulan sehingga Disember ini mengikut daerah disediakan berdasarkan masalah denggi yang dikesan berlaku di setiap daerah seluruh Terengganu.

Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman, berkata pelan dipantau secara terperinci oleh Pihak Vektor negeri yang memfokuskan lokaliti yang bermasalah denggi di seluruh daerah dengan merencanakan serta melaksanakan aktiviti-aktiviti kawalan dan pencegahan secara berkesan.

“Aktiviti lain termasuk meningkatkan keberkesanan pemeriksaan aedes terutama di kawasan bermasalah denggi dengan pemantauan pegawai penyelia daerah atau negeri mengikut jadual yang telah disediakan, gotong-royong di kawasan yang bermasalah denggi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat setempat.

“JKNT turut mnjalankan semburan pencegahan di kawasan yang terdapat banyak pembiakan aedes setelah gotong-royong dilaksanakan, selain aktiviti pemusnahan jentik-jentik aedes (Larvaciding) dijalankan terutama di kawasan berpotensi pembiakan aedes seperti di ladang-ladang atau kebun-kebun yang sukar dilakukan proses pembersihan di mana aktiviti ini boleh mengawal kewujudan nyamuk aedes dewasa sehingga tiga bulan,” katanya dalam satu kenyatan kepada media, baru-baru ini.

Dr Anwa berkata, pihaknya turut meningkatkan aktiviti promosi kesihatan tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dengan menyediakan bunting, poster, pondok-pondok informasi serta mengadakan pameran-pameran dan ceramah denggi sebagai usaha menyedarkan orang ramai mengenai masalah itu.

Selain itu, beliau berkata JKNT juga meningkatkan aktiviti penguatkuasaan aedes di seluruh negeri Terengganu.

“Sehingga 3 November lalu, jabatan kami melakukan pemeriksaan pembiakan jentik-jentik aedes ke 165,014 unit pelbagai kategori premis di seluruh negeri Terengganu, di mana 1,021 (0.62 peratus ) premis didapati positif aedes.

“Dalam pemeriksaan itu, semua premis yang didapati positif pembiakan aedes telah dikompaun sebanyak RM500 setiap premis mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (pindaan 2000),” katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 8,675 amaran atau notis pembersihan juga dikeluarkan terhadap premis yang didapati tidak menjaga kebersihan.