Halaman

25 November 2012

Ibarat setitik air di lautan yang luas-Prof Emeritus Dr Mohd Azmi

Oleh; Esah Abdullah


Seorang ahli akademik ulung , tenaga pengajar, penyelidik dan pakar rujuk dalam bidang sains perikanan Prof. Dr. Mohd Azmi Ambak, 61, telah menerima Penganugerahan Profesor Emeritus di Majlis Konvokesyen Ke-10 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT.

Prof. Dr Azmi berasal dari Lorong Haji Jamil, Kuala Terengganu berpengalaman 38 tahun dan mula aktif menjalani penyelidikan pada 1978 serta aktif menulis artikal dalam jurnal dan buku pertama beliau bertajuk ‘Freshwater Fishes of Peninsular Malaysia (1983) hingga kini buku tersebut masih lagi menjadi rujukan di seluruh dunia.

Sembilan buah buku yang berkait dengan perikanan telah berjaya diterbitkan dan buku terbaru beliau bertajuk ‘Fishes of Malaysia’ telah dilancar oleh Tuanku Canselor UMT Sultanah Nur Zahirah tahun lalu.



Kewibawaan beliau sebagai pemimpin terserlah apabila dilantik ke beberapa jawatan penting dalam universiti termasuklah Ketua Jabatan Biologi Perikanan dan Akuakultur (UPM/1982), Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Samudera (1984), Pemangku Ketua Pusat Perikanan dan Sains Samudera (1990).

Timbalan Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Samudera (1991), Pengarah (1995) Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Gunaan, UPM Terengganu (1996) dan telah dilantik ke jawatan Profesor pada 1997 dan apabila Kolej Universiti Sains dan Teknoloji Malaysia (Kustem) ditubuh pada 2001 beliau dilantik sebagai Dekan Pertama Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Beliau juga memegang jawatan Pengarah Pertama Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) (2004) dan Dekan Sekolah Siswazah (2006) dan setelah Kustem dinaiktaraf sebagai Universiti Malaysia Terengganu beliau dilantik sebagai Dekan Sekolah Siswazah.

Bapa kepada 10 orang anak terdiri daripada jurutera, pensyarah, peguam dan ahli perniagaan ini kemudiannya meletak jawatan (2009) kerana ingin menumpukan masa untuk membuat kajian dan penulisan.

Beliau yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (2012-2015) kini memantapkan kepakaran dalam bidang perikanan dengan memfokuskan penyelidikannya serta aktif mengadakan kerjasama dengan institusi dan industri dalam dan luar negara.

Prof Dr Mohd Azmi telah berjaya membimbing lebih daripada 60 pelajar pasca-siswazah peringkat sarjana dan PhD dan juga telah menerima dana penyelidikan lebih RM6 juta.

 “Saya terharu di atas penganugerahan gelaran Prof Emeritus kepada saya dan ia merupakan penghargaan tertinggi setelah 38 tahun berkecimpung dalam bidang akademik , sesungguhnya sumbangan saya hanyalah ibarat setitik air di lautan yang luas,” katanya ketika memberi ucapan balas di majlis konvokesyen semalam.