Halaman

06 November 2012

Belanja RM3 juta sedia 135,620 topi keledar untuk pengguna jalan raya

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak RM3 juta diperuntukkan Kementerian Pengangkutan melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi menyediakan 135,620 topi keledar untuk diagihkan secara percuma kepada pengguna jalan raya sejak 2009 hingga Julai lalu.

Menterinya, Dato’ Seri Kong Cho Ha, berkata pemberian topi keledar termasuk kepada kanak-kanak yang membonceng melalui siri kempen keselamatan jalan raya bagi menyedarkan mereka mengenai kepentingan pemakaian topi itu.

"Inisiatif program itu banyak membantu dalam pengurangan kes kemalangan maut yang melibatkan kecederaan kepala penunggang dan pembonceng motosikal," katanya yang juga Pengerusi MKJR. Beliau berkata demikian dalam majlis Makan Malam dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke 53 MKJR Malaysia di Wisma Darul Iman di sini, malam kelmarin (3 November).

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Dato’ Yap Kin Sian. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Setiausaha Agung MKJR merangkap Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Leslie Leon dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Wong Shaw Voon.

Dato' Seri Cho Ha berkata kerajaan juga memperkenalkan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya kepada pelajar sekolah rendah sejak 2008 secara berperingkat-peringkat sebagai satu usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di peringkat awal.