Halaman

30 November 2012

Batu Buruk destinasi ‘surfing’ 120 peserta

Oleh: Noraini Jusoh

Batu Buruk sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah bagi pertandingan sukan luncur ombak atau lebih dikenali sebagai ‘surfing’ yang melibatkan penyertaan 120 peserta dari 12 negara.

Sebanyak RM259,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi menjayakan kejohanan tiga hari bermula hari ini yang dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Rip Curl Malaysia dan Asian Surfing Championship (ASC).

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, pertandingan sukan luncur ombak ‘Terengganu Rip Curl Pro Contest 2012’ ini adalah merupakan kesinambungan kepada acara ‘Terengganu Quicksilver Best Event Surf Contest 2011’.

"Memasuki edisi kedua, pertandingan bertaraf antarabangsa yang diadakan pada kali ini telah menarik minat peserta dari pelbagai negara termasuk Thailand, Indonesia, Taiwan dan lain-lain negara.

"Sebagai tanda sokongan beberapa juara Asia sukan ekstrem ini turut hadir bagi sama-sama memeriahkan lagi kejohanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai majlis pelepasan peserta ‘Terengganu Rip Curl Pro Contest 2012’ yang berlangsung di Pantai Peranginan Batu Buruk, pagi ini.

Katanya, pertandingan ini akan dijadikan acara tahunan dan dalam pada itu, 15 lokasi telah dikenalpasti di negeri ini yang boleh dibangunkan untuk sukan luncur ombak ini.

"Jika ada pihak yang ingin bekerjasama dalam menganjurkan acara sebegini pada masa akan datang, pihak kerajaan negeri tidak keberatan untuk sama-sama menjayakannya,” katanya.

Menurut Wan Ahamad, selain bertujuan mempromosikan Terengganu sebagai salah satu destinasi pilihan bagi acara sukan air, pertandingan seumpama ini juga dianjurkan untuk menarik minat golongan remaja khususnya menceburi sukan yang mencabar ini.

"Selaras dengan hasrat kerajaan negeri menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Terengganu 2013, sukan luncur ombak dilihat mampu menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini,” ujarnya.

Difahamkan, selain pertandingan luncur ombak, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti pertandingan fotografi dan permainan sukan pantai seperti permainan layang-layang, permainan ATV dan kuda bagi memeriahkan suasana di persekitaran pantai Batu Buruk sepanjang kejohanan ini berlangsung.