Halaman

14 October 2012

Usah nilai jasa Kerajaan dalam bentuk kebendaan

Teks dan gambar oleh: Mastura Jamaluddin 

Bertemakan “Kekalkan Kebahagiaan, Elakkan Kemurungan” Kementerian Kesihatan Malaysia berjaya menganjurkan Karnival Jelajah Sihat bersama Komuniti Kuala Berang 2012 dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2012 Peringkat Negeri Terengganu, di Padang Astaka Kuala Berang.

Penduduk Kuala Berang hadir bagi menjayakan Karnival Jelajah Sihat bersama Komuniti 2012 dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri fi Padang Astaka Kuala Berang.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang dua hari yang bermula pada hari Jumaat seperti pameran, forum perdana, sukaneka, berjalan 10,000 langkah yang menjuruskan masyarakat membudayakan amalan cara hidup sihat di dalam kehidupan seharian.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, YBM Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau mengingatkan agar rakyat jangan sesekali menilai jasa-jasa kerajaan selama memerintah dalam bentuk kebendaan semata-mata kerana kerajaan telah berusaha untuk keselesaan semua pihak.


Sebaliknya, beliau mengingatkan rakyat bahawa keamanan yang di kecapi sejak merdeka hingga sekarang, aspek kesihatan masyarakat dan kesejahteraan hidup rakyat tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.

“Kita perlu melihat dengan pandangan yang lebih luas termasuk aspek keharmonian, keutuhan negara serta kebajikan rakyat secara menyeluruh jika dibandingkan dengan negara lain.

“Banyak negara tidak dapat menguruskan kesihatan dengan baik hingga menyebabkan rakyat mereka mendapat pelbagai penyakit.

“Kerajaan Malaysia iaitu Kerajaan Barisan Nasional telah membelanjakan sejumlah peruntukan besar setiap tahun dalam aspek kesihatan jadi rakyat negara ini cukup bertuah kerana kerajaan tidak pernah abaikan aspek kesihatan masyarakat,” kata Dato Tengku Putera.

Selain daripada itu, ibu bapa turut dinasihatkan agar memainkan peranan penting sebagai penggerak utama dalam memastikan setiap ahli keluarga dapat mengamalkan gaya hidup sihat.