Halaman

15 October 2012

SRS bantu kurangkan jenayah

Oleh; Esah Abdullah

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) digalakkan untuk menubuhkan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) untuk menjalankan aktiviti rondaan dan kawalan di kawasan penempatan masing-masing terutama pada waktu malam bagi memastikan kadar jenayah dapat dikurangkan ke tahap minimum.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu (JPNIN), Encik Tukimin Sarlan berkata, penubuhan SRS boleh membantu pihak polis dalam mencegah dan mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan terutamanya.

Menurutnya, daripada sejumlah 371 KRT yang ada di negeri ini, hanya sebahagian sahaja telah mempunyai pasukan SRS.

 “Penubuhan SRS adalah satu inisiatif setiap KRT dengan tujuan untuk memantau dan menjaga keselamatan kawasan kediaman masing-masing. Kewujudannya juga supaya penjenayah tidak mempunyai peluang untuk melakukan jenayah selain membantu menghalang dan mengurangkan kadar jenayah.

 “Walaupun ada sebahagian yang menganggap tidak perlu ditubuhkan pasukan SRS kerana kawasan tempat tinggal mereka telah selamat dan bukan satu kewajipan supaya ditubuhkan pasukan tersebut,” katanya pada program Taklimat dan Penerangan Akta Rukun Tetangga 2012 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

 Menurutnya, SRS juga menjadi komponen sokongan kepada pasukan keselamatan dan secara tidak langsung dapat mengeratkan perpaduan di kalangan komuniti.

 Tambahnya, melalui Akta Rukun Tetangga yang baru yang mula berkuatkuasa pada 22 Jun 2012 ianya lebih fokus dan juga ada penambahbaikan dari segi pelaksanaan dan juga peruntukkan.

Katanya, setiap KRT mendapat geran berjumlah RM6,000 berbanding hanya RM4,800 sahaja sebelum ini, manakala RM2,400 untuk SRS berbanding hanya RM1,000 sebelum ini.

Selain itu, setiap KRT boleh memohon sehingga empat sektor SRS (pasukan), setiap satu adalah tidak kurang daripada 20 anggota pemastautin yang berumur 18 tahun ke atas.

Katanya, pihaknya akan pergi ke semua daerah seluruh negeri bagi memberikan taklimat dan juga penerangan berkaitan Akta Rukun Tetangga secara berperingkat sebelum akhir tahun ini.